Isnin, 9 Mei 2011

PERSATUAN KETURUNAN TOK KEPAU (UGIK)



1.                  PENGENALAN

Persatuan ini telah ditubuh dan didaftarkan pada 18 haribulan Mac 2011, beralamat di Km. 32, Jalan Parit Sidang Seman, 77400, Sungai Rambai, Melaka.

            Pengerusi         :           Tn. Haji Abu Bakar Bin Hj. Jantan
            Naib Pengerusi:           En. Abd. Rahman Bin Muhamad
            Setiausaha       :           En. Mad Lozi Bin Neimat
            Bendahari        :           En. Abdul Rashid Bin Bahari
            ( Dan Beberapa Orang Ahli Jawatankuasa Biasa)

Penubuhan Persatuan ini telah diilhamkan oleh Ahli-Ahli Waris Kadim Keturunan Tok Kepau, yang mana Tok Kepau ialah berketurunan Bugis berasal dari Kepulauan Riau, Indonesia dan pembuka asal kampung Sungai Rambai, Melaka di penghujung Tahun 1790. Penghijrahan Tok Kepau dan pengikut-pengikutnya adalah akibat daripada kejatuhan Kerajaan Riau di tangan Kompeni Belanda pada tahun 1784.

Setelah kemangkatan Raja Haji (Almarhum di Telok Ketapang), Yamtuan Muda Johor-Riau-Lingga IV di dalam usahanya untuk menawan dan membebaskan Melaka dari cengkaman Penjajah Belanda, walaupun Sultan Mahmud Shah III (Sultan Johor) dibenar bertahta, namun suku-suku Bugis ini ini merasa tertekan dan didiskriminasikan oleh pihak Belanda. Bertitik tolak dari rentetan ini, mulalah penghijrahan beramai-ramai suku-suku Bugis ini ke satu destinasi baru yang lebih selesa.

Kumpulan Tok Kepau ini dengan kekuatan tiga buah Perahu Kakap dan sebuah Sekoci yang mengandungi lebih kurang 45 orang termasuk laki-laki dan perempuan, telah memudiki Sungai Kesang dan kira-kira 4 km dari kuala telah sepakat mereka untuk mendarat di suatu tempat di sebelah kiri tebing Sungai Kesang di dalam jajahan Negeri Melaka untuk dibina penempatan dan dinamakan tempat tersebut Kampung Sungai Rambai sempena sebatang pokok Rambai yang terdapat disitu. Dalam sedikit masa sahaja tempat ini yang dahulunya hutan rimba telah bertukar menjadi kampung halaman yang penuh dengan pohon-pohon tanaman dan sawah padi dan boleh dikatakan dari Suak Kelabau hinggalah ke Telok Gong dan Tanjung Rambai telah menjadi kawasan pertanian dan rumah-rumah kediaman telah didirikan di tepi sungai kerana sungai sahajalah yang menjadi penghubung dan laluan utama pada masa itu.

Tok Kepau telah dilantik menjadi ketua Kampung yang pertama di Kampung Sungai Rambai dan beliau juga adalah Imam dan Pawang disitu dan sebuah surau telah didirikan untuk anak-anak buahnya mengerjakan aktiviti-aktiviti keagamaan dan juga tempat mereka berkumpul untuk berbincang didalam hal-hal kemasyarakatan. Setelah Kampung Sungai Rambai ini bertambah maju, maka di dengarlah oleh orang-orang dari kampung-kampung yang berhampiran seperti Tedung, Sempang dan Merlimau dan datanglah mereka beramai-ramai meneroka hutan-hutan yang belum terusik untuk dijadikan kawasan pertanian dan berkahwinlah di antara mereka-mereka ini semenda menyemenda diantara kedua-dua belah pihak.

Tok Kepau mempunyai enam orang anak iaitu Kamis, Ninang, Puyuh, Enggoh, Urai dan Mendek dan jurai keturunanannya dapat dilihat di Galeri Tok Kepau yang mana kini zuriat keturunannya telah menjangkau sehingga generasi yang ke-sepuluh dan boleh dikatakan di Kampung Sungai Rambai ini, semua jawatan-jawatan penting seperti Ketua Kampung, Imam, Pegawai Adat dan Syarak bahkan Ali Dewan Undang Negeri juga disandang oleh ahli-ahli waris Tok Kepau semenjak dari dahulu lagi turun temurun.


2.                  OBJEKTIF PERSATUAN
i.                    Mengumpulkan seberapa ramai ahli-ahli waris kadim Tok Kepau, yang bertaburan di seluruh Malaysia, Singapura dan Indonesia, mendaftar sebagai ahli persatuan yang mana nenek moyang mereka memang berasal dari Kampung Sungai Rambai.
ii.                  Membantu meningkatkan pencapaian prestasi anak-anak keturunan Bugis (Waris Tok Kepau) melalui satu jaringan pentadbiran yang professional untuk membentuk mereka dalam hal-hal kemasyarakatan dan bidang akademik.
iii.                Menaiktaraf dan memelihara “ Galeri Tok Kepau” yang telahpun menjadi tempat pengumpulan artifak-artifak dan gambar-gambar peninggalan orang-orang yang terdahulu disamping menjadi pusat rujukan jurai keturunan Tok Kepau untuk dihayati dan dipertontonkan kepada waris beliau.
iv.                Menaiktaraf dan mengekalkan “Dataran Tok Pandak” iaitu pusat aktiviti-aktiviti sukan dan sosial serta gelanggang silat untuk waris Tok Kepau di Kampung Parit Sidang Seman, Sungai Rambai, Melaka.
v.                  Memperkenalkan kepada pihak luar tentang kewujudan Kampung Sungai Rambai ini yang sezaman dengan kewujudan Kampung Serkam oleh Tok Senin dari Palembang dan Kampung Kesang Tasek oleh keturunan Tok Lahir dari Kendal, Jawa Tengah.
vi.                Memupuk minat dan bakat generasi muda untuk meminati bidang sejarah disamping menitikberatkan kepada mereka akan keperluan dan kepentingan untuk mereka mengetahui asal usul keturunan.

2 ulasan:

  1. A'kum kepada semua ahli waris Tok Kepau... blog ini baru sahaja direka dan masih dalam penyusunan bahan.. harap bersabar dan terus menyokong kami..

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam